pertunjukkan udara
mencari keredaan
Tuesday, 21 February 2012
ditipu keegoan sendiri
Menemen: Ke Arah Pemakanan Halalan Thayyiban
Susah sungguh untuk mendapatkan makanan yang seimbang pada kombinasi kedua unsur itu.
Sedap sering memudaratkan.
Berkhasiat tetapi membantutkan selera makan.
Usaha mengubah gaya hidup sihat di Malaysia yang dipromosikan sebagai syurga makanan ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Kesukaran itu ditambah lagi dengan budaya masyarakat kita yang melayan tetamu dengan makan, tanpa mengira masa.
Saya sedang berusaha untuk keluar dari belenggu itu, walaupun setiap kali saya membuka topik ini, komen akan pantas menjadikan diri saya sebagai liabiliti ke atas mesej yang saya bawa. Sindiran lebih mudah diterima berbanding kata perangsang.
Tidak mengapa, ubat memang pahit, walaupun tidak semua yang pahit bisa mengubat.
Setahun mempromosikan ISLAM SYARIATIK dan ISLAM SAINTIFIK di dalam kuliah, saya sering memberikan contoh makanan yang menepati kehendak Islam ialah makanan yang bukan sahaja HALALAN (Syariatik) malah THAYYIBAN (Saintifik).
“Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang HALAL lagi BAIK, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata” [Al-Nahl 16: 114]
Saya tidak mahu tercicir daripada menghayati apa yang saya sampaikan.
Justeru banyak pengubahsuaian telah dibuat berkaitan pemakanan di rumah. Apa yang tinggal, adalah kawalan ke atas hajat-hajat di luar semasa berprogram.
Teh tarik sepekat dan semanis mungkin, sate, nasi kambing, kuih ketayap berinti kelapa manis, adalah di antara hidangan yang sering menjadi cara pihak penganjur menyatakan penghargaan kepada penceramah dan tetamu. Ia mungkin sesekala bagi penganjur, tetapi ia adalah cabaran harian buat penceramah yang setiap hari tugasannya adalah sama.
Saya cuba meyakinkan pihak surau, masjid khususnya di tempat yang saya mengajar tetap, untuk tidak teragak-agak mengecualikan saya daripada menu itu. Jika telah terhidang, saya sentuh sedikit seadanya dan jika dicadangkan untuk pergi makan selepas berkuliah, saya mohon izin untuk pulang awal.
Mungkin terlalu kecil signifikasi usaha saya ini ke arah peningkatan kesihatan diri. Tetapi saya bersungguh-sungguh mengusahakannya, selain pengubahsuaian cara hidup dan memaksa masa untuk senaman di celah keadaan hidup yang sungguh tidak sihat ini. Ada kemungkinan kebanyakan ustaz harus menyalahkan diri sendiri atas cara hidup yang tidak sihat. Namun usaha membuat perubahan diri amat tidak disokong oleh persekitaran yang sentiasa mahu menggembirakan para ustaz dengan MAKAN dan KENDURI.
Ada pihak yang marahkan saya, digesa bersyukur dengan kurniaan Allah dan kenangkanlah orang lain yang tidak banyak pilihan makanan dan kebuluran. Saya menginsafinya. Tetapi pihak tersebut perlu ingat, apabila seminggu saya tidak menjamah nasi dan makanan yang manis, khususnya di sebelah malam, tiba-tiba saya melanggar aturan itu, ia telah mengheret saya 2 minggu ke belakang usaha keras tersebut.
Berpatah balik itu sangat menjejaskan motivasi diri. Rasa bersalah itu sering menyebabkan saya menjadi pening dan akhirnya terpaksa memuntahkan kembali apa yang dimakan agar boleh tidur dengan tenang.
Subscribe to:
Posts (Atom)